Sejarah


Surau sungai jahit : Sejarah

Surau Kampung Sungai Jahit diasaskan oleh ulama tempat di kampung sungai jahit. menurut cerita orang orang tua, surau sungai jahit asalnya bukan berada di tapaknya sekarang. Tapak lama surau ini adalah di atas tanah yang sekarang merupakan kebun koko. Antara yang sempat dengan surau di dalam kebun koko ialah al-fadhil Tuan guru hj Fathul Ariffin bin mohd saleh, imam satu masjid kariah dong sekarang. Ketika itu antara gurunya arwah imam Yahya dan arwah ustaz Omar bin imam yahya.

Selepas itu barulah surau sungai jahit berpindah ke tapak di mana ia berada sekarang. setelah guru guru lama kembali menghadap ilahi, Surau Sungai Jahit terus diimarahkan dengan murid murid mereka yang mewarisi kerja sebagai da’ie. Menurut sumber, sekitar tahun 70-an, surau sungai jahit terkenal dengan kelas mengaji kitab hadis hukum karangan seorang ulama Indonesia, T.M Hasby. Kelas ini dibimbing oleh tuan guru hj fathul ariffin dan abangnya, ustaz hj syamsuddin. Oleh kerana pengajian berteraskan hadis hukum, yakni fiqh berpandukan sunnah, ia melangkaui batas mazhab, lalu adalah yang melabel jemaah ketika itu dengan gelaran kaum muda dan seumpamanya.

wajah terkini surau sg jahit slps renovation sumbangan jabatan agama

Masa terus berlalu, surau sungai jahit terus imarah. Dipimpin pula oleh arwah ustaz Amiruddin bin Omar. Pengajian di surau dipelbagaikan lagi di bawah pimpinan arwah. Selain pengajian Fiqh dan al-Quran diteruskan, ilmu tasawwuf turut diajar di surau. Tidak ketinggalan seni warisan seperti mauled. Surau juga menjadi pusat tarbiyah harakiyyah, mendidik jemaahnya dengan amal jama’ie. Arwah merupakan daie yang unik, beliau mampu menarik anak anak muda menjejakkan kaki ke surau.

Antara perkara yang dipelopori arwah ialah melatih imam dan bilal dari kalangan anak muda, mengadakan kelas fardhu ain untuk kanak kanak, kelas pengurusan jenazah, kelas pengajian al-Quran di bawah bimbingan ustaz ustaz huffaz, antaranya ustaz Fajuri, ustaz Salleh sani, ustaz Johari dan ustaz Rozali Zahari al-Hafez, menganjurkan majlis Qurban, kelas nahu dan saraf, dan arwah juga sempat mengajar silat kepada anak anak muda.

Hasilnya Arwah berjaya mendidik beberapa generasi anak muda, yang kini mampu mewarisi dan melaksanakan kerja kerja dakwah di dalam mukim dong dan sekitarnya.

Pemergian arwah ustaz amir ke rahmatullah, pada tahun 2003, benar benar dirasai oleh semua. Untuk seketika, surau sungai jahit bagaikan sepi. Namun perjuangan arwah diteruskan semula oleh anakandanya, ustaz Yasir bin Amiruddin. Manusia hanya merancang, sebaik baik perancangan adalah Allah. Dalam keadaan surau tidak semeriah dahulu, ustaz Yasir pula diuji dengan penyakit angin ahmar.

Buat beberapa ketika, surau sepi semula. Biarpun bantuan kerajaan tiba, membolehkan surau diperkukuhkan dan diperbaharui beberapa bahagian strukturnya, itu hanya mampu mengimarahkan zahir binaannya sahaja. Buat pertama kalinya dalam sejarah, surau tidak imarah dalam Ramadhan. Tiada Tadarus dan Tarawih.

Tahun malap surau sungai jahit berakhir jua. Perlahan lahan anak anak murid arwah yang sudah tamat belajar mula kembali ke desa. Ada tanggungjwab yang perlu dilakukan. Ada amanah yang perlu ditunaikan. Biarpun perlahan, usaha mereka yang terdahulu haruslah disambung terus oleh generasi kemudian. Biar mengalir semula pahala wakaf kepada orang orang yang mewakafkan dahulu.