Wednesday, April 13, 2011

khabar terkini surau kita

Assalamualaikum….

Agak lama blog surau kita ini sepi. Tapi insya Allah surau kita tidaklah "sesepi" blog ini.

kuliah fiqh setiap jumaat malam sabtu dan kuliah aqeedah ahli sunnah wal jamaah setiap ahad malam Isnin alhamdulillah masih berjalan lancar seperti biasa. Cuma kuliah pemuda bagi sessi 2011 ini masih belum dapat dijalankan, kerana ketiadaan pemuda untuk menghadirinya.

Begitu juga Kelas Intensif Al-Quran- KECAQ- yang tenggelam timbul, dengan suasana adik adik kita yang wajib menghadiri kelas KAFA setiap petang di sekolah, dan banyak program dan aktiviti persekolahan diadakan hujung minggu. Walaupun begitu, team KECAQ masih setia menghadiri surau kita ketika waktu waktu lapang mereka. Paling tidak bersantai santai di dalam surau, berkongsi cerita, juga riadah bersama abang abang di tapak korban. Bila tiba waktu solat, dapatlah juga berjemaah bersama sama, alhamdulillah.

Hari ahad petang bagaikan hari perjumpaan mingguan muslimat muslimat surau sungai jahit. kerana mereka bergotong royong menyediakan juadah untuk jamuan sebelah malam selepas kuliah aqeedah.

Kami turut menumpang gembira dengan Dua orang ahli team kecaq baru baru ini kerana dapat mewakili sekolah dalam sukan bola sepak. Adik Ruzaimi telah pun berjaya bersama pasukan sekolahnya menjuarai pertandingan bolasepak sekolah rendah peringkat Zon Dong. Adik Rafieq pula masih dalam perjuangan bersama pasukannya, setakat ini berjaya ke peringkat separuh akhir bolasepak sekolah sekolah menengah daerah Raub.

Akhir kata, Marilah sama sama berusaha dan berdoa untuk terus mengimarahkan surau tercinta ini.

Sekian untuk kali ini..assalamualaikum…